brutal

brutal

Saturday, July 30, 2011

Botox haram....

Botox haram - Majlis Fatwa benarkan suntikan hanya untuk kegunaan perubatan dalam keadaan darurat

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, suntikan botox untuk tujuan kosmetik adalah haram kerana mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis.

Bagaimanapun, suntikan itu dibenarkan untuk tujuan perubatan dengan syarat penggunaannya dikategori sebagai dalam keadaan darurat dan berdasarkan keperluan serta dilakukan oleh pakar bertauliah.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Abdul Shukor Husin, berkata ketetapan itu diambil selepas pihaknya meneliti laporan kajian pakar tempatan dan luar negara termasuk dari Asia Barat.

Beliau berkata, kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.

“Suntikan botox juga boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan dari aspek fizikal serta dalaman dan ini diakui sendiri ahli pakar.

“Berdasarkan semua pandangan dan pertimbangan kita, muzakarah memutuskan suntikan botox haram digunakan,” katanya pada sidang media selepas muzakarah itu di sini semalam.

Baru-baru ini, dua pensyarah syariah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Nasran Mohamad dan Ahmad Dahlan Salleh, menyifatkan kaedah rawatan menegangkan kulit muka menggunakan suntikan botox sebagai satu penipuan serta mengubah kejadian Allah.

Dalam kertas kerja bertajuk ‘Pembedahan Kosmetik Menurut Perspektif Islam’, mereka menegaskan suntikan botox haram kerana tidak mematuhi peraturan am dalam proses menjaga dan mencantikkan wajah yang dibenarkan Islam.

Kertas kerja itu dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Produk Halal 2006 anjuran Sekretariat Falsafah, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 13 Julai lalu.

Prof Abdul Shukor berkata, muzakarah itu turut memutuskan bahawa wanita boleh dilantik menjadi hakim syarie dengan syarat memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan pengalaman diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, hakim syarie wanita tidak boleh mengadili kes hudud dan qisas.

“Kita melihat kepada aspek keperluan dan kebolehan mereka tetapi pelantikan mereka mesti dilakukan secara teratur dan menjalani proses ketat seperti pelantikan hakim syarie lelaki kerana bukan semua orang layak menjadi hakim syarie.

“Soal sama ada mereka (wanita) akan dilantik menjadi hakim syarie selepas itu atau sebaliknya bergantung kepada negeri kerana itu bidang kuasa mereka. Kita hanya memberi pandangan,” katanya.

Beliau berkata, muzakarah turut menetapkan aliran pemikiran Islam liberal sebagai fahaman menyeleweng dan tidak berasaskan kebenaran dari sudut syariat Islam.

“Pandangan Islam liberal didapati boleh membawa kepada kerosakan akidah, termasuk fahaman bahawa semua agama adalah sama manakala akal adalah asas yang menentukan semua perkara.

“Aliran Islam liberal ini turut meragui ketulenan al-Quran dan kedudukan Nabi Muhammad, justeru kita tidak boleh menerimanya,” katanya.

INFO

1 - Botox Ejen saraf yang digunakan dalam bidang kecantikan untuk rawatan kedutan dengan melumpuhkan otot wajah.
2 - Kos RM1,500 setiap suntikan.
3 - Sumber Boleh didapati di pusat perubatan dan rawatan kecantikan.
4 - Kegunaan perubatan Antara kaedah rawat masalah otot akibat cerebral palsy.


Negara asal : Malaysia

Badan yang mengisu fatwa : Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Penulis/Ulama : 
Veena Rusli

No comments:

Post a Comment